Kongsi2 Kongsi Kita Gergasi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Dari Anas bin Abdul Malik r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika aku diangkat (pada malam Mi’raj) ke langit, aku melintasi segolongan manusia yang tangannya berkuku tembaga dan mereka mencakar muka dan dada mereka. Aku bertanya kepada Jibrail: Siapakah mereka ini? Dia menjawab: Mereka selalu memakan daging manusia dengan memfitnah dan mengumpat orang. (HR Abu Daud)

Jemput kongsi2kan mana yang patut, manalah tahu ada yang memerlukan. Terima kasih banyak-banyak ...

Terima Kasih kerana Sudi Menegur ...

Assalamualaikum w..b.t, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia...

Pertamanya, ucapan terima kasih banyak2 buat rakan komuniti yang sudi singgah ke laman Blog Komuniti Penduduk Bandar Baru Beris Jaya, keduanya terima kasih kerana sudi membetulkan "admin" akan kesilapan nama Kg. Sg. Pau ( sebelum ini "admin" gunakan Kg. Pau ). Segala yang baik demi memperkemaskan lagi blog ini adalah amat "admin" harap2kan.

Talian Penting - MERS999 - www.999.gov.my


Penempatan Baharu

Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) terletak kira-kira 10 km dari Pekan Sik dan lima kilometer dari Pekan Jeniang. BBBJ merupakan sebuah bandar terancang yang telah didirikan pada sekitar tahun 2002. BBBJ juga terletak berdekatan dengan sebuah empangan yang diberi nama Empangan Beris.

Projek pembinaan empangan tersebut telah mengakibatkan beberapa buah kampung ditenggelami air. Penduduk yang kehilangan tempat berteduh akibat projek tersebut, telah diberi pampasan dan ditempatkan di sebuah penempatan terancang yang diberi nama Bandar Baru Beris Jaya. Melalui pembinaan Empangan Beris, maka terhasillah sebuah tasik buatan manusia yang dipanggil Tasik Beris. Pemandangan di Tasik Beris pastinya memukau setiap mata yang memandang. Landskapnya yang berlatar belakangkan bukit-bukau yang diselubungi kabus pasti membuatkan pengunjung terasa seolah-olah berada di Sabah.

Projek empangan yang menelan kos jutaan ringgit ini telah memberi kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di BBBJ. Kehidupan mereka lebih teratur dan terancang. Segala kemudahan disediakan selengkapnya bagi membolehkan mereka menjalankan segala urusan.

Bagi yang ingin berkunjung ke BBBJ, bolehlah menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Sungai Petani menghala ke Alor Star dan Bukit Kayu Hitam. Pengunjung perlu keluar melalui tol Gurun dan menghala ke Jeniang dan Sik. Perjalanan dari plaza tol mengambil masa kira-kira setengah jam. Walau bagaimanapun, perjalanan tidak terasa kerana pengunjung akan terpesona dengan pemandangan sawah padi dan bukit-bukau.

Penduduk di BBBJ mengamalkan kehidupan penuh muafakat. Mereka hidup dalam suasana aman damai dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain. Dengan kapasiti kira-kira 600 buah rumah dan tinggal di kawasan yang lebih moden, masyarakat di sini masih memegang kuat budaya masyarakat kampung yang mementingkan perpaduan.

Sumber : http://telecentre.my target="_blank"

Kehidupan Sempurna dan Selesa

Penduduk di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) terdiri daripada masyarakat Melayu dan Siam. Sekali pandang, masyarakat Siam hampir sama dengan masyarakat Melayu. Apa yang membezakan mereka ialah bahasa pertuturan. Walaupun begitu, masyarakat di BBBJ hidup dalam suasana yang aman lagi harmoni.

Jumlah penduduk yang menetap di BBBJ ialah sekitar 5,000 orang dengan 600 buah rumah yang telah didirikan oleh pihak kerajaan. Rumah yang pada asalnya dicat dengan warna putih, majoritinya masih kekal sehingga ke hari ini.

Kehidupan masyarakat di sini sudah sempurna dengan adanya tempat tinggal yang selesa. Kedudukannya yang berhampiran dengan ladang-ladang getah, memberikan mereka kesempatan untuk terlibat dalam kegiatan pertanian.

Sektor Ekonomi Merapatkan Hubungan

Terdapat beberapa buah kampung yang terletak berhampiran dengan Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) antaranya ialah Sungai Pau, Pekan Batu 5 dan Kampung Carok Pelandok. Hubungan di antara semua penduduk di sini sangat baik kerana penduduk BBBJ sering membeli barang keperluan dan sebagainya di Pekan Batu 5. Terdapat sebuah pusat pakaian bundle yang menjual pakaian dengan harga serendah RM1.00 sehelai. Gudang pakaian ini telah menarik ramai pengunjung luar dan penduduk setempat untuk membeli pakaian di sini.

Sekiranya terdapat majlis kenduri-kendera, jiran-jiran setempat akan dijemput untuk menghadiri majlis tersebut. Amalan tolong-menolong masih menjadi keutamaan penduduk di kawasan ini.

Pendapatan Dari IKS

Sekerjaan utama penduduk di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) ialah menoreh getah. Ia merupakan pekerjaan yang dilakukan oleh mereka ketika masih menetap di kampung asal beberapa tahun yang lalu. Menoreh getah telah sebati dengan diri mereka. Walaupun telah berpindah ke penempatan baharu, mereka masih menjadikan getah sebagai sumber pendapatan utama.

Kemudahan infrastruktur yang telah disediakan oleh pihak kerajaan seperti Kompleks Bengkel Pemprosesan Makanan telah memberi peluang kepada penduduk BBBJ meningkatkan taraf hidup mereka melalui sektor Industri Kecil Dan Sederhana (IKS). Sambutan yang agak menggalakkan diterima dari penduduk BBBJ yang berminat dalam bidang tersebut. Antara bengkel yang terdapat di sini ialah bengkel kuih tradisional dan moden. Selain itu, terdapat juga penduduk yang mengusahakan kedai runcit, membuka bengkel dan sebagainya. Bagi golongan belia, mereka pula lebih suka bekerja di kilang-kilang.

Cabaran Kepada JKKK

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan yang penting dalam membangunkan sesebuah kawasan penempatan. Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) mempunyai kemudahan yang agak lengkap dan menjadi cabaran kepada JKKK untuk memastikan segala prasarana digunakan dengan betul dan berhemah.

Pada asalnya terdapat empat orang Ketua Kampung yang mengetuai kampung masing-masing. Setelah berpindah ke BBBJ, sistem pentadbiran di sini masih lagi mengekalkan empat orang Ketua Kampung.

Empangan Beris

Secara ringkasnya sejarah penubuhan Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) berikutan peristiwa pembinaan Empangan Beris yang terletak kira-kira 24 km dari Pekan Sik dan 90 km dari Alor Setar. Pembinaan empangan ini dalam masa yang sama telah mewujudkan sebuah tasik buatan manusia iaitu Tasik Beris. Keindahan Tasik Beris menjadi sebutan ramai.

Penduduk BBBJ berasal dari beberapa buah kampung di Sik iaitu Kampung Batu Seketol, Kampung Sungai Batang, Kampung Ternas dan Kampung Telaga Batu. Malah ketika pembinaan Empangan Beris, kira-kira seribu kubur telah dipindahkan ke kawasan perkuburan baharu.

Pihak kerajaan telah bersetuju menjadikan BBBJ sebagai penempatan baharu kepada penduduk yang tinggal di kawasan yang terjejas akibat pembinaan empangan tersebut. Kira-kira 600 buah rumah telah didirikan di sini. Nama BBBJ diambil sempena nama Tasik Beris dan Empangan Beris.

Penempatan BBBJ dibuka pada tahun 2002. Kini, setelah beberapa tahun, pembangunan semakin dapat dirasai oleh penduduk di kawasan ini. Sebagai sebuah bandar terancang, segala kemudahan lengkap di kawasan ini.

Bengkel Kereta Jadi Pilihan

Jumlah belia di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) tidak ramai kerana segelintir mereka telah keluar untuk mencari rezeki di bandar-bandar besar. Ramai juga yang bekerja di sektor perkilangan di sekitar Negeri Kedah.

Marzuki Sulaiman baharu sahaja berkecimpung dalam bidang kemahiran iaitu dengan membuka bengkel kereta. Sebelum ini, beliau menjual kereta terpakai. Kemudian beliau mendapat idea untuk membuka bengkel kereta sendiri. Bersandarkan minat dan kemahiran yang dimiliki, beliau telah meyakinkan penduduk BBBJ untuk menghantar kereta ke bengkelnya sekiranya mengalami kerosakan dan sebagainya.

Walaupun baharu berusia 26 tahun, beliau mempunyai keyakinan yang cukup tinggi ketika menceburkan diri di dalam bidang perniagaan. Ia merupakan satu langkah yang cukup bijak dalam usaha memajukan diri sendiri di samping memberikan pendapatan yang lumayan.

Penyokong Suami

Wanita di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) majoritinya adalah suri rumah tangga. Mereka menjadi tulang belakang kepada para suami untuk meneruskan kehidupan. Menjalankan tanggungjawab sebagai suri rumah tangga pada hakikatnya bukan juga satu tugas yang mudah. Berada di dapur untuk menyediakan hidangan kepada suami yang pulang dari ladang dan melayani anak-anak di rumah antara aktiviti wajib bagi kaum ibu.

Namun, ada juga wanita di sini yang bekerja di Kompleks Bengkel Pemprosesan Makanan yang terletak di berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya. Terdapat beberapa buah bengkel yang mengusahakan kuih muih tradisional dan moden iaitu Sinar Beris Enterprise. Bengkel-bengkel ini merupakan satu projek Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berada di bawah Kementerian Pertanian Dan Asas Tani.

Getah Tetap Menjadi Pilihan

Getah merupakan sumber pendapatan penduduk di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ). Sebelum berpindah ke penempatan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan, mereka turut mengusahakan ladang getah. Setelah berpindah ke BBBJ, kebanyakan penduduk masih mengusahakan ladang getah.

Getah merupakan tanaman yang memberikan kesan yang sangat besar kepada ekonomi negara. Walaupun begitu, suatu ketika dahulu getah pernah mengalami zaman kemerosotannya kerana mengalami masalah tahap produktiviti yang rendah, masalah pokok getah tua dan tidak ekonomik. Kini, masalah tersebut sudah dapat diatasi dengan adanya teknologi dan pengurusan yang sistematik dalam memulihkan kualiti dan produktiviti getah.

Setelah beberapa kajian dilakukan, beberapa penemuan ditemui dalam meningkatkan produktiviti getah. Antaranya ialah dengan melakukan penanaman semula mengikut tempoh-tempoh yang telah ditentukan.

Rimba Rekreasi Lata Mengkuang

Airnya yang dingin dengan pemandangan yang indah menjadikan Hutan Lipur Lata Mengkuang antara destinasi menarik di sekitar Sik. Keindahan alam semula jadi menjadikan Hutan Lipur Lata Mengkuang tumpuan penduduk untuk menikmati keindahan dan kedinginan air di Lata Mengkuang. Sungai Chepir yang mengalir jernih di hutan lipur ini menjadi pilihan para pengunjung untuk bermandi-manda.

Hutan Lipur Lata Mengkuang terletak di dalam Hutan Simpan Rimba Teloi kira-kira 11 km dari Pekan Sik dan 95 km dari Alor Setar. Hutan lipur ini terdiri daripada Hutan Diptrokarp Pamah. Selain daripada airnya yang dingin, keindahan flora dan fauna menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan ini. Antara tumbuhan yang terdapat di Hutan Lipur Lata Mengkuang ini adalah pokok meranti melantai, meranti langgong, meranti tembaga, palma dan banyak lagi.

Kedai Runcit Sumber Pendapatan

Naser Haji Hamid merupakan salah seorang penduduk di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) yang berjaya. Sejak berpindah ke BJJJ, beliau telah mengusahakan sebuah kedai runcit yang cukup dikenali oleh penduduk di BBBJ. Telah lama beroperasi menjadikan kedainya pilihan penduduk setempat untuk membeli barang keperluan.

Bermula secara kecil-kecilan, kini beliau boleh tersenyum puas melihat perusahaannya semakin berkembang. Beliau bukan sahaja menjual barang seperti gula, tepung, sabun basuh malah turut menjual bahan mentah seperti ikan dan sayur-sayuran. Menurut Naser, bahan mentah seperti ikan dibeli secara borong dari Pasar Jeniang.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan, kedai runcitnya dibuka setiap hari. Ia dibuka pada pukul 8.30 pagi sehinggalah pukul 10.00 malam. Anak-anak beliau turut membantu menguruskan kedai runcit yang hanya terletak bersebelahan dengan rumah mereka.

Koperasi Main Peranan

Koperasi Pembangunan Beris Berhad mencatatkan sejarah apabila menjalankan projek koperasi paling besar di Malaysia. Projek menternak kira-kira 500 ekor lembu yang diimport dari Thailand secara fidlot disertai seramai 600 penduduk Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ). Secara tidak langsung, koperasi ini telah membantu ahlinya meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Menurut Ismail Din yang merupakan Pengurus Projek Ternakan Lembu di koperasi ini, kesemua pekerja merupakan penduduk BBBJ dan anak-anak ahli. Koperasi yang menyediakan bekalan lembu dan daging bagi tujuan aqiqah, korban serta membekalkan daging segar serta penjualan baja organik mendapat reaksi yang positif dari masyarakat di sekitar Sik dan Kedah amnya.

Lembu yang diternak di koperasi ini merupakan dari jenis Kedah Kelantan atau lebih dikenali dengan panggilan lembu “KK” yang sesuai dijadikan lembu korban dan juga lembu dari jenis Brahman yang mempunyai telinga yang sedikit panjang. Buat masa ini, harga pasaran bagi lembu KK adalah RM7.60 sekilogram manakala jenis Brahman pula dijual pada harga RM7.20 sekilogram. Lembu-lembu ini diberi makan pellet dari jenis Palm Kernel Pellet (PKP).

Teratur Dan Lengkap

Pembangunan di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) berjalan lancar dan sempurna dengan adanya segala kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan negeri yang begitu prihatin. Segala kemudahan dan bantuan disalurkan bagi kemudahan penduduk setempat dan juga meningkatkan ekonomi di kawasan ini.
Dilengkapi dengan kemudahan jalan raya, diikuti dengan pembinaan Masjid Al-Islah, dewan serba guna, mini stadium, medan selera, dan banyak lagi kemudahan lain. Adanya kemudahan seperti medan selera, ia memberi galakan kepada penduduk setempat untuk mengusahakan gerai makanan bagi menambah pendapatan. Terdapat juga bangunan kedai yang telah didirikan di bawah Majlis Daerah Sik bagi membolehkan masyarakat di sini berniaga.
Dengan adanya kemudahan yang lengkap, masyarakat di BBBJ dapat menggunakan kesempatan yang ada untuk meningkatkan pendapatan keluarga seterusnya menjana ekonomi setempat. Ia bukan sahaja dapat memberikan mereka pulangan yang lumayan malah menjamin penempatan tersebut sebagai sebuah bandar yang maju pada masa akan datang.

Menunggang Basikal Sebagai Hobi

Mini Stadium Bandar Baru Beris Jaya dijadikan tempat beriadah bagi penduduk di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ). Walaupun ia hanya tempat sementara sebelum mendapatkan padang bola yang sebenar namun padang ini menjadi tumpuan para belia di BBBJ untuk bermain bola sepak setiap petang. Meskipun belia yang tinggal di BBBJ tidaklah terlalu ramai kerana masing-masing telah keluar untuk mencari rezeki di bandar-bandar besar, namun aktiviti riadah seperti bermain bola masih menjadi pilihan mereka. Bagi kanak-kanak pula, beriadah dengan menunggang basikal menjadi kegemaran mereka pada hari cuti dan waktu petang.

Klinik Desa Bandar Baru Beris Jaya ( BBBJ )

Penduduk di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) disediakan sebuah klinik desa yang terletak di dalam kawasan perumahan. Adanya Klinik Desa Bandar Baru Beris Jaya, kesihatan penduduk lebih terjaga. Sekiranya berhadapan dengan masalah kesihatan, penduduk di sini akan segera mendapatkan rawatan kesihatan di klinik tersebut. Berperanan sebagai sebuah institusi perubatan terpenting kepada penduduk di BBBJ, kakitangan klinik sentiasa menjalankan amanah yang diberikan dengan jujur dan bertanggungjawab. Antara perkhidmatan yang disediakan di Klinik Desa Bandar Baru Beris Jaya ialah rawatan ibu dan anak, pesakit luar dan beberapa perkhidmatan lain lagi. Untuk mendapatkan rawatan lanjut, penduduk di BBBJ akan ke Hospital Sik yang terletak tidak jauh dari BBBJ.

Berpindah Ke Sekolah Baru

Projek Empangan Beris yang telah siap pada 10 Ogos 2000 telah membentuk sebuah tasik buatan yang diberi nama Tasik Beris. Dahulu, terdapat beberapa buah kampung yang menjadi penempatan masyarakat yang kini menetap di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) iaitu sebuah kawasan terancang yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Batang turut terjejas dan terkubur akibat projek empangan tersebut. Beberapa tahun yang lalu, SK Sungai Batang merupakan sekolah yang menjadi tumpuan ibu bapa menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan pendidikan. Namun bak kata pepatah 'yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti". Bandar terancang yang telah dibina beberapa kilometer sahaja dari Pekan Sik telah dilengkapi dengan sebuah sekolah yang diberi nama Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya. Setelah tamat pengajian di peringkat sekolah rendah, anak-anak di BBBJ akan menyambung pengajian ke peringkat sekolah menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Jeniang dan Sekolah Menengah kebangsaan Sik.

Polis Menjaga Keamanan

          Selain pembangunan, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan. Di Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) penduduknya tidak bimbang dengan faktor keselamatan kerana penduduk di sini telah disediakan dengan pondok polis yang menempatkan beberapa orang pegawai polis yang sentiasa menjaga keamanan setempat.

          Pondok Polis Bandar Baru Beris Jaya terletak di tepi jalan dan berhadapan dengan Klinik Desa Bandar Baru Beris Jaya. Dengan adanya kekuatan beberapa anggota polis yang mengawal keselamatan BBBJ, maka penduduk di sini tidak perlu melakukan kawalan keselamatan tambahan. Pihak polis akan selalu melakukan rondaan pada waktu malam bagi mengawasi sebarang kejadian yang tidak diingini.

Kesedaran Akan Ilmu IT - Bukanlah Diminta Menjadi Pakar, Cukuplah Sekadar Tahu ...

          Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) bertanggungjawab sepenuhnya dalam memelihara Akta Komunikasi dan Media 1998 (Akta 558) yang mana di dalamnya terdapat 10 Dasar Kebangsaan di dalam industri komunikasi dan media. Antara peranan besar yang diamanahkan kepada mereka ialah menjadikan bidang media dan Teknologi Maklumat (IT) sebagai medium yang akan membangunkan ekonomi negara. Dalam masa yang sama, melahirkan golongan cerdik pandai dalam bidang IT.

          Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) merupakan salah satu projek yang telah dibangunkan bagi mencapai visi dan misi KTAK. Objektifnya adalah untuk menyediakan perkhidmatan infrastruktur komunikasi dan kemudahan capaian Internet bagi masyarakat di kawasan desa di samping merapatkan jurang digital di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

          Tidak hanya sekadar dibekalkan kemudahan peralatan, malahan latihan dan kemahiran IT turut disediakan kepada masyarakat setempat. Bagi penduduk Bandar Baru Beris Jaya, tertubuhnya Pusat Perkhidmatan dan Ilmu Komuniti (PPIK) mendapat sambutan yang sangat baik dari penduduk setempat dari semua peringkat umur.  Ia tentunya berdasarkan tentang kesedaran akan kepentingan teknologi pada masa kini apatah lagi pada masa akan datang.

Tanah Perkuburan, Bandar Baru Beris Jaya


Tanah Perkuburan, Bandar Baru Beris Jaya

Aktiviti Sosial Bersama Penduduk


Aktiviti Sosial Bersama Penduduk

Pondok Polis, Bandar Baru Beris Jaya


Pondok Polis, Bandar Baru Beris Jaya

Masjid Al-Islah, Bandar Baru Beris Jaya


Foto 01 - Masjid Al-Islah, Bandar Baru Beris Jaya  
 
 
Foto 02 - Masjid Al-Islah, Bandar Baru Beris Jaya

Klinik Desa, Bandar Baru Beris Jaya


Klinik Desa, Bandar Baru Beris Jaya

Foto Penempatan Bandar Baru Beris Jaya

لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُl 

Foto 01 - Penempatan Warga Bandar Baru Beris Jaya

Foto 02 - Penempatan Warga Bandar Baru Beris Jaya

Post Pertama : Komuniti Penduduk Bandar Baru Beris Jaya ( BBBJ )

لسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُl 

Terima kasih di atas kehadiran Pusat Internet 1Malaysia di Bandar Baru Beris Jaya



Khas buat Seluruh Warga Penduduk Bandar Baru Beris Jaya !!!


-----------------------------------------------------