Penempatan Baharu

Bandar Baru Beris Jaya (BBBJ) terletak kira-kira 10 km dari Pekan Sik dan lima kilometer dari Pekan Jeniang. BBBJ merupakan sebuah bandar terancang yang telah didirikan pada sekitar tahun 2002. BBBJ juga terletak berdekatan dengan sebuah empangan yang diberi nama Empangan Beris.

Projek pembinaan empangan tersebut telah mengakibatkan beberapa buah kampung ditenggelami air. Penduduk yang kehilangan tempat berteduh akibat projek tersebut, telah diberi pampasan dan ditempatkan di sebuah penempatan terancang yang diberi nama Bandar Baru Beris Jaya. Melalui pembinaan Empangan Beris, maka terhasillah sebuah tasik buatan manusia yang dipanggil Tasik Beris. Pemandangan di Tasik Beris pastinya memukau setiap mata yang memandang. Landskapnya yang berlatar belakangkan bukit-bukau yang diselubungi kabus pasti membuatkan pengunjung terasa seolah-olah berada di Sabah.

Projek empangan yang menelan kos jutaan ringgit ini telah memberi kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di BBBJ. Kehidupan mereka lebih teratur dan terancang. Segala kemudahan disediakan selengkapnya bagi membolehkan mereka menjalankan segala urusan.

Bagi yang ingin berkunjung ke BBBJ, bolehlah menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Sungai Petani menghala ke Alor Star dan Bukit Kayu Hitam. Pengunjung perlu keluar melalui tol Gurun dan menghala ke Jeniang dan Sik. Perjalanan dari plaza tol mengambil masa kira-kira setengah jam. Walau bagaimanapun, perjalanan tidak terasa kerana pengunjung akan terpesona dengan pemandangan sawah padi dan bukit-bukau.

Penduduk di BBBJ mengamalkan kehidupan penuh muafakat. Mereka hidup dalam suasana aman damai dan saling bantu-membantu di antara satu sama lain. Dengan kapasiti kira-kira 600 buah rumah dan tinggal di kawasan yang lebih moden, masyarakat di sini masih memegang kuat budaya masyarakat kampung yang mementingkan perpaduan.

Sumber : http://telecentre.my target="_blank"

No comments:

Post a Comment

terima kasih ...